Siti Nurhaliza Dalam Senarai 500 Individu Islam Paling Berpengaruh Dunia

KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mengharumkan nama Malaysia apabila tersenarai dalam The 500 Most Influential Muslims 2025 yang diterbitkan oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre, Jordan.

Dikenali sebagai “Voice of Asia”, beliau merupakan satu-satunya penyanyi dari Malaysia yang konsisten menerima pengiktirafan itu atas pengaruh luar biasa dalam bidang muzik dan kerja kebajikan.

“Beliau telah memenangi pelbagai anugerah muzik, memiliki lebih 14 juta pengikut di pelbagai platform media sosial, melancarkan album ke-20 pada Jun 2023, dan merupakan penerima Anugerah Ikon Malaysia,” menurut kenyataan rasmi Facebook The 500 Most Influential Muslims.

Sepanjang kerjayanya, Siti telah mengumpul lebih 350 anugerah muzik tempatan dan antarabangsa termasuk Juara Lagu, AIM, Anugerah Planet Muzik dan banyak lagi.

Beliau turut pernah disenaraikan di tempat kedua dalam kategori Asia’s Best Musical Artiste oleh MTV Asia.

Pengiktirafan ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam karier Siti Nurhaliza yang bukan sahaja dikenali di Malaysia tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa sebagai ikon seni dan inspirasi wanita muslimah.

Anda Mungkin Berminat