Siti Nurhaliza Diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara

BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai penyanyi nombor satu Malaysia apabila diiktiraf sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats.

Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan pencapaian luar biasa beliau yang telah meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, menjadikannya antara penghibur paling prolifik di rantau ini.

Lebih membanggakan, Siti turut tersenarai di tangga ke-27 daripada 100 penghibur dunia yang menerima anugerah terbanyak iaitu satu pencapaian yang meletakkan nama Malaysia di peta muzik antarabangsa.

“Alhamdulillah, terima kasih… saya pun tak fikir pasal ini kerana sibuk dengan aktiviti dan kerja.

“Kalau ada pihak yang menghargai, saya bersyukur. Saya bekerja atas sebab cinta dan minat terhadap muzik, bukan semata-mata untuk mengejar anugerah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan gelaran legenda bukan sebagai tekanan tetapi sebagai dorongan untuk terus berkarya dan membahagiakan peminat.

“Status legenda itu satu penghargaan besar tetapi saya tidak mahu ia membuatkan saya tertekan.

“Apa yang penting saya teruskan kerja dengan baik kerana bagi saya ini sudah seperti menjadi tugas untuk membahagiakan orang,” tambahnya.

Pengiktirafan itu meletakkan Siti sebaris dengan nama-nama besar seperti Regine Velasquez dari Filipina, Stefanie Sun dari Singapura dan Bird Thongchai dari Thailand sehingga membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu bersaing di pentas global.

Sepanjang kerjayanya, Siti bukan sahaja memukau dengan vokal dan persembahan tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda melalui dedikasi, disiplin dan keikhlasan dalam berkarya.

Anda Mungkin Berminat