Siti Nurhaliza Dilantik Profesor Adjung UiTM, Sedia Kongsi Ilmu Keusahawanan

PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, kini secara rasmi bergelar Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), satu penghormatan yang disambut penuh rasa rendah diri oleh penyanyi tersohor itu.

Pelantikan tersebut diumumkan pada 6 November 2025 dan disambut meriah oleh warga maya selepas Siti memuat naik gambar majlis pelantikan itu di platform Threads, sambil mengucapkan penghargaan kepada pihak universiti.

“Terima kasih kepada UiTM di atas pelantikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, dalam ucapannya semasa majlis pelantikan, Siti menyatakan keterujaannya untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bidang keusahawanan hasil daripada penglibatannya dalam dunia seni dan perniagaan selama lebih dua dekad.

“Saya rasa begitu rendah diri kerana saya bukanlah ahli perniagaan yang masyhur.

“Alhamdulillah sebagai seorang selebriti yang bergiat seni dan perniagaan saya diberikan banyak kelebihan untuk menjadi usahawan berjaya,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Pelantikan Siti sebagai Profesor Adjung dilihat sebagai satu langkah strategik UiTM untuk memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri khususnya dalam bidang keusahawanan kreatif.

Dengan pengalaman luas dalam membina empayar perniagaan menerusi jenama SimplySiti dan pelbagai usaha niaga lain, kehadiran beliau dijangka memberi inspirasi kepada pelajar dan pensyarah dalam memahami realiti dunia perniagaan sebenar.

Majlis pelantikan itu turut disempurnakan oleh Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan disaksikan oleh barisan kepimpinan fakulti.

Anda Mungkin Berminat