Oleh: Aliyaa Azmi
MALAM kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) pada 13 September ini dijangka menjadi antara detik paling gemilang dalam kalendar hiburan tanah air apabila barisan bintang ternama tampil mempersembahkan karya dan bakat mereka di pentas berprestij Arena of Stars, Genting Highlands.
Antara nama besar yang bakal menyinari malam penuh gemilang itu termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kugiran legenda Exists serta bintang generasi baharu seperti Ernie Zakri, Dolla, Shila Amzah dan Black Hanifah.
Acara yang bertemakan ‘Kemuncak Segala-Galanya’ akan dikemudi oleh dua hos popular, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar yang sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan majlis utama.
Menurut Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, pemilihan artis dan penyampai trofi dibuat berdasarkan kekuatan mereka dalam industri muzik serta kesesuaian dengan tema tahun ini.
“Dolla bakal bergabung dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, manakala Ernie Zakri pula akan tampil bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia,” katanya pada sidang media di Premiera Hotel, pada Rabu.
Malam itu turut menjanjikan persembahan istimewa daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sentiasa dinanti peminat, selain penampilan Exists yang terus relevan dan kekal sebagai ikon muzik Malaysia.
Lebih menarik, pentas AIM24 juga akan menjadi medan pendedahan buat bakat baharu apabila semua finalis kategori Artis Baru Terbaik iaitu Erika Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone yang diberi ruang untuk mempersembahkan karya mereka secara langsung.
Sebanyak 30 kategori akan dipertandingkan pada malam anugerah tersebut dengan pemenang bagi 11 kategori terpilih bakal menerima dana keseluruhan berjumlah RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang disalurkan oleh MyCreative Ventures.
Malam kemuncak AIM24 akan disiarkan secara langsung di saluran TV2 dan portal RTM Klik bermula pukul 9 malam, manakala acara karpet merah akan bermula seawal pukul 8 malam yang menjanjikan glamor, emosi dan detik bersejarah buat industri muzik tanah air.








