SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 tampil lebih bermakna apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dipilih menyampaikan lagu tema rasmi berjudul Malaysia Madani Rakyat Disantuni, sebuah karya yang menyentuh jiwa dan menyatukan hati rakyat pelbagai kaum.
Lagu ciptaan Affan Mazlan itu mengangkat tema kasih sayang, kebersamaan dan nasionalisme, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan integriti, keadilan sosial dan perpaduan.
Dengan vokal ikonik Siti Nurhaliza yang penuh emosi dan kekuatan, lagu ini menjadi simbol harapan dan semangat merdeka yang terus menyala dalam jiwa rakyat Malaysia.
“Ayuh beramai-ramai memeriahkan sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya.
“Jumpa anda di sana!” seru Siti menerusi hantaran di Instagram, sambil memuat naik video muzik rasmi lagu tersebut.
Lagu itu bukan sekadar hiburan tetapi satu seruan untuk rakyat menjiwai nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Liriknya menyentuh tentang perpaduan bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan yang bersatu hati demi negara tercinta.
Diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku Pengerusi Jawatankuasa Media dan Publisiti HKHM, lagu ini menjadi latar semangat bagi pelbagai program kemerdekaan di seluruh negara.
Ia juga mencerminkan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani dengan tema ‘Rakyat Disantuni’ menekankan keutamaan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat terutama golongan yang memerlukan sokongan.
HKHM 2025 akan diraikan pada 31 Ogos dan 16 September, lagu ini dijangka menjadi pengikat emosi rakyat dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara.
Dengan suara Siti Nurhaliza sebagai penggerak utama, Malaysia Madani Rakyat Disantuni bukan sekadar lagu, ia adalah jiwa merdeka yang hidup dalam setiap rakyat Malaysia.








