Siti Nurhaliza Tampil Perjelas Kontroversi Persembahan di Majlis Aidilfitri KKM

PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan bahawa beliau menerima bayaran untuk persembahan sempena program Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam hantaran Instagram Story, Siti meluahkan rasa kesal terhadap tuduhan yang tidak berasas mengenai penampilannya di majlis tersebut.

“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.

“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” jelasnya.

Majlis yang turut dihadiri Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah menjadi perhatian selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memuat naik foto artis yang hadir di Facebook.

Namun, Dr Dzulkefly turut mengesahkan bahawa kedua-dua artis tersebut hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran.

Siti berharap agar fitnah yang tersebar tidak berpanjangan.

“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.

“Penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu tidak sahih beritanya,” katanya.

Kontroversi ini juga dikaitkan dengan masalah dalaman di KKM.

Dr Dzulkefly menegaskan komitmen kementerian untuk menangani isu sistemik yang dihadapi pekerja kesihatan.

“Kami akan terus berusaha untuk menangani isu sistemik untuk pekerja kesihatan kami, itu komitmen saya,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat