BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 14.2 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), ketika dalam perjalanan pulang selepas mengadakan persembahan di RedQ AirAsia, di sini, sebentar tadi.
Perkara itu dimaklumkan menerusi pengurusnya, Rozi Abdul Razak dalam satu perkongsian di Instagram.
Menurut Rozi, kejadian berkenaan melibatkan empat buah kenderaan termasuk kereta yang dinaiki penyanyi tersohor itu.
“Kereta saya dan Siti Fairuz (pembantu Siti) berada beberapa buah kenderaan di belakang kereta yang dinaiki Siti.
“Kami segera mengeluarkan Siti dari kenderaan dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Selain itu, Rozi turut memaklumkan Siti mengalami lebam serta bengkak pada bahagian kaki akibat insiden tersebut.
Pada masa sama, Siti menerusi kemas kini terbaharu di media sosial memaklumkan beliau berada dalam keadaan baik.
Dalam perkongsian berkenaan, beliau turut memuat naik video bersama anaknya, Muhammad Afwa serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraannya.
Beliau juga berharap agar dapat segera pulih dan kembali menjalankan tugasan seperti biasa.
Baca juga:








