Situasi banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 7,803 mangsa daripada 2,184 keluarga yang ditempatkan di 52 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 11 pagi.
Sebelum ini hanya 4,834 mangsa terjejas daripada 1,413 keluarga yang ditempatkan di 50 PPS, di enam daerah terjejas pada tengah malam Isnin.
Enam daerah yang terjejas di Johor termasuk daerah Pontian, Kulai, Segamat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pecahan 7,803 mangsa terbahagi kepada 3,945 mangsa lelaki dan 3,858 mangsa perempuan.
Pecahan tersebut juga menunjukkan seramai 2,599 orang lelaki dewasa, 2,603 orang wanita dewasa di samping masing-masing seramai 1,226 dan 1,149 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Turut terlibat merupakan sejumlah 120 orang bayi lelaki dan 106 bayi perempuan.
Menurut laman web rasmi public Infobanjir, terdapat juga lima sungai di Johor yang berada pada paras bahaya namun menunjukkan trend menurun dan tiada perubahan.
Sungai yang berada pada paras bahaya termasuk Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang pada aras 15.9 meter, Sungai Johor di Kota Tinggi pada aras 3.31 meter dan Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya, Kota Tinggi pada aras 8.76 meter.
Sungai lain yang turut mencatat aras bahaya ialah Sungai Linggiu di Linggiu, Kota Tinggi pada aras 8.76 meter dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai pada aras 20.85 meter.
Baca juga:








