Situasi Gaza, perkukuh anggota ASEAN, ekonomi bakal dibincang pada Sidang Kemuncak ASEAN – Anwar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan antara isu utama yang bakal dibincangkan semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-46 pada tahun ini bakal menyentuh isu situasi di Gaza, usaha memperkukuh ikatan sesama anggota, kepentingan ekonomi dan perdagangan serantau serta inisiatif melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara ASEAN.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada malam tadi.

“Saya turut menekankan kepentingan ‘projek Grid Tenaga ASEAN’ sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga di peringkat serantau.

“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tekad untuk terus memacu ASEAN ke hadapan sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan mampan,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Menyentuh isu tarif Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri menegaskan keutamaan Malaysia pada ketika ini adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik selain memperluas kerjasama menerusi ASEAN serta rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan bersama Kesatuan Eropah (EU).

“Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia,” ujar Anwar.

Dalam kesempatan itu, Anwar turut beramah mesra bersama para pengamal media termasuk kenalan lamanya sambil mengimbau kembali momen-momen terdahulu serta saling bertukar pandangan perihal isu-isu semasa dan global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat