SK Bidor 2 lokasi pertama kempen internet selamat 2025

BIDOR: Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, Perak menjadi lokasi pertama pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2025 yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Menurut kenyataan MCMC, kempen ini bertujuan memberi pendedahan mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.

“Kempen ini memberi tumpuan kepada risiko penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak serta langkah melindungi mereka dari eksploitasi dan penyalahgunaan dalam talian.

“Antara mesej utama termasuk larangan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun dan peranan penting ibu bapa dalam pemantauan,” kata MCMC.

Jelas kenyataan itu, sepanjang tahun ini, sebanyak 10,246 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara disasarkan terlibat dalam kempen ini yang turut melibatkan pelajar, guru, ibu bapa dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

MCMC menyatakan bahawa Kerajaan MADANI komited memerangi ancaman siber dan memastikan Internet digunakan dengan selamat oleh semua lapisan masyarakat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat