KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa skandal 1MDB bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tamadun negara, yang memberi impak besar kepada masa depan generasi muda.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, skandal itu merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara dan mencemarkan nilai integriti dalam budaya politik Malaysia.
“Kejadian ini turut menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa apabila menjadi antara sorotan global kes kleptokrasi terbesar di dunia.
“Tragedi 1MDB mencerminkan kegagalan tadbir urus akibat pemusatan kuasa tanpa mekanisme pengawasan yang berkesan dan tanpa sandaran nilai moral yang kukuh.
“Sistem yang lemah membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku, menjadikan struktur tadbir urus lebih berbahaya daripada individu yang melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyatan pada Sabtu.

Menurut Fahmi, hukuman terhadap individu yang terlibat bukan sahaja bertujuan memberi keadilan, tetapi juga sebagai pengajaran bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat membawa akibat yang besar.
“Skandal 1MDB mesti dijadikan pemangkin kepada pembaikan tadbir urus negara, termasuk pengukuhan sistem semak dan imbang, kebebasan institusi kehakiman, serta ketelusan pengurusan dana awam.
“Skandal 1MDB adalah peringatan bahawa keadilan dan integriti mesti menjadi teras kepimpinan, dan kekuasaan tanpa moral hanya membawa kehancuran.
“Reformasi institusi adalah kesinambungan perjuangan untuk negara yang lebih berintegriti,ujarnya.
Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Baca juga:








