PETALING JAYA: Skandal rasuah yang melibatkan segelintir pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini sama sekali tidak mencerminkan keseluruhan anggota serta agensi pertahanan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menekankan bahawa imej dan reputasi ribuan anggota ATM yang berkhidmat dengan penuh dedikasi tidak wajar dicemari oleh salah laku segelintir individu.
“Jadi ingin dijelaskan integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas.
“Majoriti besar tahu tanggungjawab mereka, tahu amanah yang digalas oleh mereka dan tahu bahawa negara bergantung kepada khidmat dan siap siagaan mereka.
“Saya tidak mahu segelintir isu yang menyelubungi segelintir orang itu walaupun masih dalam siasatan, keputusan mahkamah nanti tidak harus menyebabkan tercoreng luka dan gambaran status pegawai-pegawai tentera di semua peringkat yang berkhidmat dengan baik,” katanya.
Anwar menyampaikan penegasan itu ketika berucap di Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Mitec, Kuala Lumpur pada Rabu.
Perdana Menteri turut menyeru agar anggota ATM terus berpegang teguh kepada prinsip, mengekalkan profesionalisme dan kekal tegas dalam menjalankan tugas, seiring dengan pencapaian positif negara dari segi ekonomi dan keamanan.
“Saya mengharapkan mereka tetap dengan pendirian mereka, tegas berkhidmat kerana negara ini mencapai prestasi yang baik dalam bidang ekonomi serta keamanan yang kita nikmati,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut memaklumkan pencapaian terbaru Malaysia apabila perdagangan negara mencatat rekod baharu sebanyak RM3 trilion bagi tahun 2025.
“Unjuran kita pertumbuhan maksimum 4.8, kita sekali lagi pecah rekod itu dan semua angka-angka itu menakjubkan,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh semua pihak daripada jemaah menteri, pegawai awam, sektor swasta, hinggalah agensi pertahanan negara.
“Tentu ini peranan semua jemaah menterinya, pegawai-pegawai sektor swasta tetapi di sebalik itu semua adalah angkatan bersenjata, angkatan tentera, polis, tentera sempadan dan semua yang bekerja bertungkus lumus yang menyebabkan rakyat dan negara-negara luar termasuk pelabur yakin untuk datang ke Malaysia untuk melabur dan berdagang,” katanya.








