Pelaksanaan Skim Perubatan MADANI yang diperhalusi dan ditambah baik akan memberi tumpuan kepada 10 daerah di negara ini bagi meningkatkan keberkesanan dan kemampanan tahap kesihatan masyarakat setempat.
Menurut ProtectHealth Corporation (ProtectHealth), antara lokasi yang terlibat ialah Gombak, Hulu Langat, (Kuala Lumpur), Petaling Jaya, Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).
“Selain daripada itu, kelayakan penerima Skim Perubatan MADANI akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah berkenaan dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh memanfaatkannya hingga peruntukan skim ini digunakan sepenuhnya.
“Klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan Skim Perubatan MADANI,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, ProtectHealth turut menghantar makluman kepada semua klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan itu
Katanya, perincian itu penting bagi keberkesanan pelaksanaan Skim Perubatan MADANI dalam mencapai objektif utama skim ini.
“Dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu, ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukannya,” katanya.
Skim Perubatan MADANI yang dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun lalu bertujuan mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan bandar pada masa ini.
“Bagaimanapun ia masih lagi dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan skim berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian, kesesakan di fasiliti KKM di bawah fasa perintis Skim Perubatan MADANI adalah bertambah baik,” katanya.
Baca juga: