Skim Perubatan MADANI: Semua Penerima STR Layak Rawatan Percuma di Klinik Swasta

PETALING JAYA: Akses kepada rawatan kesihatan berkualiti kini lebih mudah untuk golongan B40 apabila kerajaan mengumumkan peluasan Skim Perubatan MADANI kepada semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara.

ProtectHealth dalam kenyataan berkata, ianya dilancarkan pada 15 Jun 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, skim ini membolehkan penerima STR mendapatkan rawatan penyakit akut secara percuma di klinik-klinik swasta berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth).

ProtectHealth turut menjelaskan bahawa pendaftaran bagi klinik swasta sebagai panel masih dibuka.

“ProtectHealth komited memperluas akses penjagaan kesihatan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam-swasta (PPP) dalam usaha mengurangkan beban kewangan rakyat serta memperkasa kebajikan komuniti berpendapatan rendah,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, skim tersebut hanya terhad kepada sepuluh daerah termasuk Kuala Lumpur, Gombak, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

Namun, mulai sekarang, semua penerima STR di seluruh Malaysia boleh menikmati manfaat kesihatan ini tanpa bayaran.

Rawatan percuma yang ditawarkan merangkumi konsultasi doktor, pemeriksaan kesihatan, ubat-ubatan, prosedur asas serta rujukan kes lanjut, semuanya di klinik swasta panel ProtectHealth.

Tiada pendaftaran awal diperlukan dan hanya membawa MyKad sahaja sudah memadai.

Difahamkan, had peruntukan skim adalah RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas bujang dan RM75 bagi individu bujang.

Untuk mengetahui lokasi klinik panel terdekat dan status kelayakan, orang ramai boleh melayari www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani.

Anda Mungkin Berminat