PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini melancarkan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) Fest 2025 di Johor Bahru, sebagai usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menerapkan penyelesaian teknologi masa hadapan khususnya dalam sektor kesihatan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang menegaskan bahawa program seperti itu merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Madani melalui SKMM untuk memastikan PMKS tidak terpinggir daripada arus kemajuan teknologi.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memperluas akses kepada teknologi, malah berperanan membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Di samping membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan mendatang,” katanya.
Menurut SKMM, GDPM Fest 2025 akan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi terpilih, bermula di Johor Bahru hari ini, diikuti Kuantan, Pahang pada 17 Ogos dan Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos.
Katanya, program itu dijangka menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan, usahawan kesihatan serta penyedia teknologi tempatan.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian mengenai transformasi penjagaan kesihatan, demonstrasi teknologi masa hadapan, serta pengalaman realiti maya (VR) yang memberi gambaran tentang potensi teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Program itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Bank Simpanan Nasional (BSN), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta rakan teknologi kesihatan masa hadapan.
Menurut SKMM, kerjasama itu menjadi bukti betapa pentingnya penyatuan peranan sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara.
“GDPM Fest 2025 membawa inisiatif ini ke akar umbi melalui pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan,” kata kenyataan itu.
SKMM turut memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), iaitu satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan digital yang selamat, bertanggungjawab dan beretika.
SKMM turut berharap program terbabit dapat menyokong usaha kerajaan ke arah ekosistem penjagaan kesihatan lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.