KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai kuasa utama dalam ekonomi Islam apabila merekodkan skor tertinggi 165.1 mata dalam State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/25.
Sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu dunia untuk tahun ke-11 berturut-turut.
Menurut laporan yang diterbitkan firma penyelidikan antarabangsa DinarStandard, kedudukan Malaysia jauh mengatasi pesaing terdekat iaitu Arab Saudi (100.9 mata) dan Indonesia (99.9 mata).
Turut berada dalam kelompok 10 teratas ialah Emiriah Arab Bersatu (95.8), Bahrain (81.9), Jordan (71.4), Kuwait (67), Pakistan (64.1), Turkiye (64) dan Qatar (60.4).
Laporan itu menegaskan, kekuatan Malaysia disokong oleh ekosistem menyeluruh yang merangkumi kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Muslim, fesyen sederhana, farmaseutikal serta media dan hiburan patuh syariah.
“Malaysia bukan sahaja mendahului dari aspek dasar dan rangka kerja peraturan, malah berjaya mewujudkan model pembangunan ekonomi Islam yang inklusif dan diiktiraf dunia,” menurut laporan berkenaan.
Penganalisis menjangkakan pencapaian ini akan terus memberi keunggulan daya saing kepada Malaysia dalam menarik pelaburan asing, sekali gus memperluaskan pasaran halal global yang kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion (RM9.5 trilion).
Kedudukan konsisten di tangga teratas ini juga menjadikan Malaysia sebagai penanda aras global kepada negara lain yang berhasrat menggabungkan nilai syariah dalam strategi pembangunan moden.
Baca juga: