SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen Kumpulan B bola sepak Sukan SEA 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan Laos 4-1 dalam aksi pembukaan di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.
Malaysia dikejutkan pada minit ke-4 apabila Xaysombath Bounphaeng meletakkan Laos di depan, namun anak buah Nafuzi Zain kembali bangkit untuk menguasai permainan. Haykal Danish menyamakan kedudukan pada minit ke-33, sekali gus menghidupkan semula tempo skuad Harimau Muda.
Memasuki babak kedua, Malaysia tampil lebih garang. Haqimi Azim menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 sebelum Moses Raj menambah jaringan hanya dua minit kemudian bagi memberikan kedudukan selesa 3-1.
Tekanan berterusan skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila Abu Khalil menyempurnakan gol keempat pada minit ke-90 untuk memastikan kemenangan bergaya 4-1, sekali gus memberikan kelebihan jaringan penting menjelang pertemuan dengan Vietnam pada Khamis.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga mata bersama Vietnam tetapi menduduki tangga teratas kumpulan menerusi perbezaan jaringan, manakala kekalahan kedua berturut-turut menyaksikan Laos tersingkir daripada saingan.
Malaysia kini hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir untuk muncul juara kumpulan dan menempah slot ke separuh akhir.
Baca juga:








