Skuad Ihsan MADANI Salur Bantuan RM118,000 Kepada Mangsa Banjir Kuantan

KUANTAN: Skuad Ihsan MADANI yang diterajui Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) pada Selasa melaksanakan misi bantuan pasca bencana bagi menyantuni mangsa banjir di sekitar Taman Guru dan Kampung Teluk Mahang, Kuantan.

Misi itu memberi tumpuan kepada penduduk yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini dengan penyaluran bantuan keperluan asas dan tunai untuk meringankan beban mereka.

Dalam satu hantaran di Facebook, JAKIM berkata, pelaksanaan misi itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bersama agensi perkhidmatan awam di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, yang sentiasa siap siaga turun padang membantu rakyat.

“Bantuan yang diberikan termasuk bakul makanan, kit kebersihan diri, kit solat bencana, lampin pakai buang, kelengkapan tidur serta bantuan tunai, bernilai keseluruhan RM118,000 dan memberi manfaat kepada 300 penerima,” menurut JAKIM.

Program itu turut disertai wakil kerajaan dan agensi agama termasuk Exco Hal Ehwal Agama Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Shafik Fauzan, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.

Misi bantuan ini sekali lagi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk turun padang membantu rakyat tanpa mengira lokasi khususnya ketika negara berdepan musim bencana.

Anda Mungkin Berminat