Skuad Takraw Negara Tutup Kempen Sukan SEA Dengan Kilauan Emas

BANGKOK: Skuad sepak takraw negara menutup kempen kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 penuh gemilang apabila menghadiahkan pingat emas terakhir selepas menewaskan Vietnam dalam perlawanan akhir acara antara regu di Nakhon Pathom, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas laluan mencabar ditempuhi skuad negara, khususnya apabila pasukan tuan rumah, Thailand, tersingkir di peringkat separuh akhir.

Situasi tersebut menjadikan Vietnam sebagai cabaran utama dalam final, namun Malaysia yang menurunkan gandingan Shahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam sebagai pengumpan dan Azlan Alias di posisi perejam, mempamerkan aksi meyakinkan untuk menguasai set pertama dengan kemenangan 15-9.

Pada set kedua, Malaysia bermula agak goyah apabila ketinggalan 2-5, sekali gus memaksa jurulatih mengambil masa rehat dan melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan tekong simpanan, Haziq Hairul Nizam.

Keputusan itu terbukti tepat apabila rentak permainan kembali memihak kepada Malaysia sebelum mengesahkan kemenangan set kedua 15-9 dan seterusnya meraih pingat emas.

Kejayaan ini melengkapkan emas berganda buat skuad sepak takraw negara pada edisi kali ini. Sebelum ini, Malaysia mencipta sejarah apabila menamatkan penantian selama 34 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan selepas menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir minggu lalu.

Pencapaian cemerlang itu sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai antara kuasa utama sepak takraw di rantau Asia Tenggara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat