Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan tidak sah logo dan maskot Sukan Malaysia (SUKMA XXI) Sarawak 2024.
Langkah tersebut diambil berikutan pengesanan beberapa pihak yang menggunakan simbol tersebut tanpa kebenaran, melanggar Akta Hak Cipta 1987.
Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng memaklumkan sebarang penggunaan tanpa kebenaran merupakan pelanggaran hak harta intelek yang serius.
Beliau turut menyatakan penggunaan tanpa izin termasuk penghasilan, pengedaran, penjualan dan pameran awam logo dan maskot tersebut.
“Pihak berkuasa telah mendaftarkan logo dan maskot SUKMA XXI mengikut Seksyen 26b Akta Hak Cipta 1987.
“Mereka juga mengingatkan orang ramai bahawa tindakan undang-undang sivil dan jenayah boleh dikenakan terhadap pelanggaran tersebut kerana kami komited untuk melindungi hak harta intelek kami,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, individu atau entiti yang menggunakan logo dan maskot tanpa kebenaran bertulis daripada SMA boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah beberapa akta, termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, SMA turut menggesa semua pihak untuk menghormati undang-undang dan menghentikan segera sebarang penggunaan logo dan maskot tanpa kebenaran.
“Kerjasama ini penting untuk melindungi sumber dan integriti Kerajaan Negeri Sarawak dan kami akan terus memperkasakan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kepentingan kami terjaga,” ujarnya.
Langkah tersebut menunjukkan komitmen SMA dalam memastikan kesahihan penggunaan simbol-simbol penting negeri, serta melindungi kepentingan ekonomi dan kebudayaan Sarawak.
Baca juga: