SMART600 Lonjak Kesalinghubungan Digital Luar Bandar Sarawak

PETALING JAYA: Usaha memperkukuh kesalinghubungan digital luar bandar Sarawak mendapat suntikan baharu menerusi Projek SMART600, hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Projek itu menyasarkan pembinaan 600 menara komunikasi dalam dua fasa.

MCMC dan SDEC dalam satu kenyataan bersama berkata, setakat ini, 587 menara telah siap dibina dan 431 daripadanya diaktifkan menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) sehingga membolehkan liputan rangkaian oleh pelbagai syarikat telekomunikasi secara serentak.

Katanya, lebih 180,000 penduduk luar bandar di lebih 1,000 lokasi termasuk Belaga, Marudi, Kapit dan Sungai Encheremin dijangka menerima manfaat langsung melalui capaian internet berkelajuan tinggi.

“Ini bukti usaha merapatkan jurang digital dan menyokong keperluan pendidikan, kesihatan serta ekonomi digital rakyat luar bandar,” kata kenyataan itu.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu berlangsung di Cyberjaya dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Sudarnoto Osman.

Melalui teknologi MOCN, MCMC berkata, penduduk boleh memilih perkhidmatan hingga lima syarikat telekomunikasi termasuk CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Tambahnya, pembiayaan pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi SDEC, manakala kos operasi dikongsi bersama MCMC dan syarikat telekom.

Projek ini adalah selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, yang menekankan usaha meningkatkan taraf hidup dan memastikan pembangunan inklusif tanpa keciciran.

Anda Mungkin Berminat