Oleh: Tyah Helmi
PENCIPTA kandungan dan pakar sinematik visual (VFX) popular Malaysia, Sofyank, mendedahkan pengalaman istimewanya berkolaborasi dengan bintang dan pelakon Hallyu terkenal Moon Junhui daripada kumpulan SEVENTEEN, dalam satu sesi penggambaran khas di Beijing baru-baru ini.
Sofyank mendedahkan gandingannya bersama Junhui atau lebih manja digelar Jun memaparkan rasa terujanya menjalani penggambaran kandungan VFX untuk promosi filem terbaru “The Shadow’s Edge” yang dijangka pecah panggung pada 16 Ogos ini.
“Baru selesai shoot content VFX dengan Jun. Sebelum shoot risau takut Jun keliru sebab kena bayang benda yang tak wujud depan mata, tapi lepas rakaman dimulakan, fuhhh Jun bagi penuh energi untuk video ini.
“Korang nantikan tau!” katanya.
Sofyank turut menjadi antara anak Malaysia yang berpeluang bertemu dengan ikon filem aksi dunia, Jackie Chan.
“Alhamdulillah, sewaktu di Beijing kami berpeluang jumpa aktor lagenda Jackie Chan. Walaupun tak sempat shoot VFX video bersama, momen bertemu Jackie Chan cukup bermakna.
“Ini memberi semangat baru untuk terus hasilkan konten untuk menghiburkan korang semua,” katanya.
Beliau turut meminta para peminat Jun iaitu Carat agar bersabar dan menantikan video kolaborasi yang dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan dan antarabangsa.
Di sebalik pendedahan itu, timbulnya persoalan adakah Jun akan turut menjejak kaki ke bumi Malaysia sekali lagi.
Susulan, daripada hantaran kandungan daripada Syarikat Golden Screen Cinemas (GSC) yang memberi pendedahan awal bahawa mereka bakal menampilkan barisan pelakan utama filem “The Shadow’s Edge” ke Malaysia.
Jun, atau nama sebenarnya Wen Junhui, bukan hanya terkenal sebagai penyanyi gah dari kumpulan SEVENTEEN, tetapi juga seorang pelakon profesional yang pakar sejak kecil lagi dalam bidang lakonan di China.
Untuk rekod menerusi filem The Shadow’s Edge, Jun membawakan watak Hu Feng, seorang anggota kumpulan jenayah, bergandingan bersama bintang tersohor Jackie Chan dan Tony Leung Ka Fai.
Filem arahan Larry Yang itu mengisahkan usaha pihak polis membanteras sebuah organisasi jenayah terkenal, dengan Jackie Chan memainkan peranan sebagai detektif veteran, manakala Tony Leung sebagai antagonis utama dan bapa angkat kepada watak Jun.
Sebelum menyertai SEVENTEEN pada tahun 2015, Jun telah memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak di China, membintangi pelbagai drama dan filem tempatan.
Kejayaan kolaborasi ini menandakan satu lagi pencapaian membanggakan buat Sofyank dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi kandungan kreatif berimpak tinggi.
Baca juga: