Soket dipasang terbalik punca remaja maut dalam bas – Loke

PETALING JAYA: Kematian seorang remaja ketika mengecas telefon bimbitnya dalam sebuah bas ekspres di Terminal Penang Sentral, 2 November lalu berpunca daripada pendawaian elektrik tidak patuh piawaian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hasil siasatan pasukan petugas khas mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke soket dipasang secara terbalik menyebabkan renjatan itu berlaku.

“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemui maut dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.

Mengulas lanjut, walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada 20 Mei lalu, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.

“Ini bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Loke berkata pihaknya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres terbabit iaitu Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd, dua hari selepas kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengendali bas menghentikan penggunaan semua soket elektrik 3-pin dengan serta-merta sehingga garis panduan baharu dikeluarkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat