KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan menegaskan bahawa sokongan ibu bapa amat penting dalam membantu pihak sekolah membina semula kekuatan dan semangat warga pendidik selepas berdepan insiden tragis yang menimpa salah seorang murid baru-baru ini.
Beliau berkata, peranan ibu bapa kini lebih besar daripada sekadar memastikan anak-anak hadir ke sekolah, sebaliknya mereka juga perlu bersama-sama menyokong guru serta pihak sekolah dalam menghadapi saat sukar.
“Sokongan ibu bapa amat penting untuk membantu kami membina semula kekuatan dan semangat warga sekolah. Bantulah kami dengan apa cara sekalipun, demi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut merakam penghargaan kepada semua guru yang kekal tabah dan bersemangat meneruskan tanggungjawab mendidik biarpun berdepan ujian berat.
“Buat guru-guru yang amat kami kasihi, sabar, kuat semangat dan teruskan mandat pendidikan kita. Tunai tetap kami tunaikan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan.
“Saya dan timbalan saya mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya. Kami akan lakukan yang lebih baik (we will do better). Reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah ini akan kita laksanakan bersama,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian yang berlaku menjadi pengajaran penting kepada semua pihak untuk memperkukuh budaya prihatin dan saling menyokong dalam komuniti sekolah.
“Kita hanya mampu pulih apabila semua pihak guru, ibu bapa dan PIBG berganding bahu demi anak-anak dan masa depan mereka,” katanya.
Baca juga:








