Sokongan Kerajaan Kunci Kemajuan Industri Muzik Tanah Air – RIM

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berharap kerajaan memberikan sokongan padu terhadap pembangunan industri muzik tempatan menerusi Belanjawan 2026, bagi memastikan sektor ini terus menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusinya, Rosmin Hashim, berkata industri muzik bukan sekadar cabang hiburan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada ekosistem ekonomi kreatif yang semakin bernilai tinggi, terutama apabila rakaman muzik kini diiktiraf sebagai aset digital berpotensi besar dalam sistem kewangan masa depan.

Beliau berkata, berdasarkan Kajian Impak Ekonomi Industri Muzik Malaysia oleh perunding antarabangsa PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik tempatan menjana hasil ekonomi sebanyak RM19.4 bilion, menyumbang cukai tahunan kira-kira RM531 juta dan menyediakan purata 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

“Peningkatan sokongan dan dana kerajaan bukan hanya memberi manfaat kepada pemain industri muzik, tetapi turut merangsang sektor berkaitan seperti acara muzik langsung, tempat hiburan, media penyiaran serta pelancongan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rosmin berkata, tahun 2024 mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik Malaysia, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM339 juta, hasil gabungan platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook serta kutipan daripada organisasi pengurusan kolektif seperti MACP, PPM dan RPM.

“Sekiranya hasil daripada penerbitan muzik, acara langsung dan pengurusan artis turut diambil kira, jumlah sebenar pastinya jauh lebih tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memuji kejayaan Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi yang disifatkan berkesan dalam memperkasa kandungan muzik tempatan dan melahirkan karya berkualiti tinggi.

Rosmin berkata, antara kejayaan jelas hasil dana tersebut ialah rakaman oleh artis seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama, yang mendominasi senarai lima teratas pelbagai kategori Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.

“Dayang Nurfaizah sendiri berjaya membawa pulang Album Terbaik menerusi album Belagu 2. Pemberian dana DKD kepada pemenang kategori terpilih AIM23 dan AIM24 mampu menggalakkan penghasilan kandungan muzik tempatan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Rosmin turut menekankan keperluan kerajaan memperluas promosi artis tempatan ke pasaran antarabangsa seperti China, India dan Indonesia, sekali gus meningkatkan nilai eksport muzik Malaysia.

“Dengan memperkukuh dana, memperluas promosi dan membangunkan bakat tempatan, Malaysia berpotensi muncul sebagai kuasa besar kandungan digital Asia menjelang 2026,” katanya.

Beliau menegaskan, industri muzik tempatan kini berada di landasan yang tepat untuk berkembang sebagai aset digital utama negara, sekiranya terus mendapat sokongan strategik melalui Belanjawan 2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat