Solat Hajat Khas di 3 Masjid Utama JAKIM Jumaat ini

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Solat Hajat Khas bagi mendoakan keamanan dan kesejahteraan sejagat pada Jumaat ini susulan konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata program itu diadakan sebagai menyahut seruan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan agar umat Islam terus memperbanyakkan doa memohon keamanan dunia.

Menurutnya, solat hajat khas itu akan dilaksanakan pada 13 Mac selepas solat Jumaat di tiga masjid utama di bawah seliaan JAKIM, iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Penganjuran solat hajat itu juga bertepatan dengan fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan, sekali gus mengajak umat Islam memperkukuh munajat kepada Allah SWT.

“Semoga doa dan munajat yang dipanjatkan oleh umat Islam dalam bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT serta menjadi asbab kepada terpeliharanya keamanan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, umat Islam digalakkan mengambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk terus berdoa agar konflik yang melanda dunia dapat diselesaikan secara aman demi kesejahteraan semua pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat