Soloz Undur Diri Dari Team Vamos Menjelang MPL MY S16

PETALING JAYA: Dunia esports tempatan dikejutkan dengan pengumuman pemain profesional Mobile Legends, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, yang memilih untuk mengundurkan diri daripada Team Vamos menjelang saingan Mobile Legends Professional League Malaysia Musim ke-16 (MPL MY S16).

Keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dengan Soloz menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan kariernya dalam industri yang semakin pesat berkembang ini.

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, saya dengan penuh berat hati akhirnya memutuskan untuk mengundurkan diri demi memberi fokus sepenuhnya terhadap perjalanan saya dalam industri esports,” katanya dalam satu kenyataan.

Soloz turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokongnya sepanjang bersama Team Vamos termasuk pengurusan pasukan, peminat setia, rakan industri dan media.

“Besar harapan saya agar anda semua dapat terus memberikan sokongan kepada Team Vamos serta mendoakan kejayaan gemilang pasukan ini dan seterusnya meneruskan legasi kecemerlangan esports Malaysia,” katanya lagi.

Walaupun tidak lagi menyarung jersi Vamos untuk musim ini, Soloz tetap optimis dengan kemampuan pasukan tersebut untuk bersaing di pentas MPL MY S16 yang penuh prestij dan cabaran.

Anda Mungkin Berminat