PETALING JAYA: Menyembunyikan insiden buli bukan sahaja tidak bermoral, malah merupakan satu jenayah, tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, beliau memberi amaran keras kepada semua pihak pengurusan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), agar tidak sesekali menyorokkan sebarang kes buli yang berlaku di institusi masing-masing.
“Tindakan menyembunyikan kes buli adalah satu kesalahan jenayah.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengurusan IPMA yang cuba melindungi pelaku buli semata-mata untuk jaga nama baik institusi,” katanya.
Menurut Asyraf, sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA, beliau telah menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar mengenai kecenderungan sesetengah pengurusan IPMA untuk tidak melaporkan kes buli.
“Motifnya kononnya mahu jaga reputasi atau takut kehilangan anugerah kecemerlangan.
“Tetapi tindakan ini sebenarnya melindungi jenayah dan tidak boleh diterima sama sekali,” tegas beliau.
Beliau berkata, arahan jelas telah diberikan, di mana sebarang maklumat berkaitan buli yang disorok akan dikenakan tindakan tegas.
Tambahnya, prinsip ‘Kamu sentuh kamu pergi’ akan terus diguna pakai, di mana sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes buli akan dikenakan tindakan tanpa mengira latar belakang.