Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN | Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEACS) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) adalah sistem aduan baharu boleh meningkatkan tahap kredibiliti dan konvensional.
Kenyataan itu diakui oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sewaktu menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkaitan pencapaian IPCC sejak penubuhannya, akhir tahun lalu.
Beliau berkata, pelancaran itu dijangka bermula bulan hadapan bagi memudahkan orang awam untuk mengemukakan aduan termasuk memaparkan status terkini yang lebih tepat, tanpa perlu hadir secara fizikal mahupun menghantar surat ataupun e-mail.
“Apabila sistem ini sudah mula beroperasi, kita akan dapat susuli, misalnya kita akan hasilkan laporan tahunan dengan terperinci, seperti statistik aduan yang diterima, diselesaikan dan yang masih lagi tertangguh, kita boleh buat.
“Kita juga boleh beri kemaskini tepat masa, maknanya apabila sistem ini dibangunkan nanti, dengan sendirinya akan ada dashboard untuk buat pengesanan terhadap status aduan.
“Kita juga akan menggunakan ini untuk melakukan media engagement dengan lebih kerap.
“Dengan cara ini sahajalah kita dapat meningkatkan kepercayaan awam terhadap suruhanjaya ini seawal ia beroperasi,” jelasnya.
Sebagai info, SPEACS ditubuhkan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sebagai usaha untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan aduan mengenai tatakelakuan anggota polis di Malaysia.
Penubuhan SPEACS dilakukan sebagai langkah untuk memperkukuhkan mekanisme semakan dan siasatan terhadap aduan orang awam, terutamanya berhubung dakwaan salah laku polis.
Sistem ini dibangunkan dengan sokongan teknologi maklumat bagi memudahkan proses aduan, pemantauan status siasatan, serta untuk menyediakan laporan yang lebih terperinci dan boleh diakses oleh pihak yang berkenaan.