Oleh: Aliyaa Azmi
SELEPAS lebih dua dekad merentas cabaran dalam industri muzik tempatan, kumpulan rock legenda Spider kembali dengan sebuah persembahan istimewa iaitu ‘SPIDER UNPLUGGED’ yang menjanjikan pengalaman muzik yang jujur, mendalam dan penuh makna buat para peminat.
Konsert istimewa itu bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober, menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan seni Spider sejak penubuhannya pada 1996.
Daripada wajah baharu yang mencuba nasib, Spider kini berdiri megah sebagai ikon muzik dengan lagu-lagu malar segar seperti Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Aladdin dan Nazraku.
Dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment, konsert itu bakal menampilkan Spider dalam format akustik yang penuh emosi, di mana sebuah pendekatan yang jarang dipersembahkan mereka sebelum ini.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami teruja.
“Bila mereka (Spider) bersetuju dengan konsep ‘unplugged’ ini, kami tahu ia akan jadi sesuatu yang luar biasa dan tak mudah dilupakan,” ujar wakil penganjur, Fandy Alias.
Dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar), Spider memilih format ‘unplugged’ bukan sekadar percubaan baharu tetapi sebagai penghormatan terhadap muzik yang telah mereka hasilkan selama hampir tiga dekad.
“Kami tak mahu naik pentas, goreng lagu, menyanyi sekadar lepas batuk di tangga. Apa peminat dapat dari persembahan macam tu?
“Bagi Spider, kalau mahu adakan konsert, konsep dan kualiti mesti nombor satu,” jelas Tam.
Menurutnya lagi, setiap aspek konsert termasuk audio, teknikal dan kesiapsiagaan anggota kumpulan diteliti sebelum mereka menerima tawaran itu.
SPIDER UNPLUGGED juga dijangka memperlihatkan sisi muzik Spider yang lebih matang, reflektif dan mungkin belum pernah ditonjolkan sebelum ini yang akan menjadikan konsert itu sebagai titik penting dalam naratif mereka.
Bagi yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah itu, tiket telah mula dijual sejak 25 April lalu pukul 3 petang menerusi laman web rasmi: www.ilassotickets.com/spiderunplugged.
Tiket ditawarkan dalam empat kategori harga iaitu RM198 (ALADDIN – Free Seating), RM238 (CINTA DEWA DEWI – Numbered Seat), RM298 (KASIH LATIFAH – Numbered Seating) dan RM388 (RELAKU PUJUK – Numbered Seating).








