SPM 2025: Hanya Soalan Ramalan, Tiada Kertas Peperiksaan Bocor – KPM

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa dakwaan kebocoran soalan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 hanyalah ramalan yang dibuat oleh guru dan calon peperiksaan, bukan kebocoran sebenar.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, KPM memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak menepati definisi kebocoran seperti yang ditetapkan dalam prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan oleh Lembaga Peperiksaan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa maklumat yang ditularkan adalah senarai tema umum dan merupakan kandungan yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

“Senarai tema yang ditularkan adalah kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, diklasifikasikan sebagai sulit seperti peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak,” katanya.

Sehubungan itu, KPM menyeru semua calon SPM 2025 agar kekal tenang dan terus memberi tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

“KPM berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 adalah terjamin,” katanya.

Anda Mungkin Berminat