SPR: Penamaan Calon PRU DUN Sabah Sabtu Ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada 15 November ini.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan antara jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 25 pusat penamaan calon seluruh Sabah.

Beliau berkata, penyerahan boleh dibuat oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau seorang sahaja.

SPR menasihatkan bakal calon untuk mengisi borang penamaan dan membuat semakan awal dengan pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon.

“Bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran pada hari penamaan sebagai bukti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Calon yang mewakili parti politik pula diwajibkan mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti masing-masing ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

SPR turut mengingatkan bahawa semua calon tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan berkaitan bahan kempen.

Pilihan Raya DUN Sabah kali ini bakal menyaksikan pertandingan di 73 kerusi, dan SPR menyeru semua pihak termasuk parti politik mematuhi undang-undang serta arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan teratur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat