PARLIMEN | Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) akan ditambah baik dalam usaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meneliti amalan kempen digital oleh calon pilihan raya, termasuk mengambil kira kos pengiklanan di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dilaksanakan bagi memastikan sebarang pindaan dibuat secara teratur dan menyeluruh.
“Perkara ini akan mengambil kira pandangan pihak terlibat. Bagaimanapun, SPR belum memuktamadkan sebarang pindaan sehingga proses libat urus selesai,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) berhubung keperluan mengemas kini akta bagi menyesuaikan dengan perkembangan kempen baharu seperti kempen digital.
Mengulas isu had perbelanjaan calon yang dilihat tidak lagi praktikal, Azalina menjelaskan bahawa perbelanjaan di bawah AKPR merujuk kepada kos yang ditanggung calon, bukan parti.
Katanya, had maksimum semasa ialah RM200,000 bagi calon Dewan Rakyat dan RM100,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri.
Tambah beliau, SPR turut meneliti kesesuaian menetapkan had baharu serta kemungkinan mengambil kira perbelanjaan parti ketika pilihan raya dalam usaha memperkemas AKPR.
Baca juga:








