SPRM panggil MB Perlis untuk diambil keterangan berhubung kes rasuah anaknya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa pada Selasa.

Mohd Shukri dikatakan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis itu diminta hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang berlangsung ke atas anak lelakinya.

Sementara itu, Admin Facebook Mohd Shukri melalui satu hantaran yang dimuat naik sebentar tadi memaklumkan Menteri Besar Perlis itu tidak ditahan.

“MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” katanya.

Terdahulu, SPRM telah menyiasat seorang pemimpin penting di utara negara kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengannya dalam projek pembekalan bernilai RM300,000.

Pemimpin tersebut juga disyaki melantik beberapa syarikat untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai berkaitan dengan anak pemimpin tersebut.

Selain itu, sebelum ini anak kepada Menteri Besar Perlis merupakan antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan mengenai pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat