PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai RM786,556 yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus memperkukuh usaha pemulihan aset negara.
Dalam kenyataan media pada Selasa, SPRM memaklumkan karya-karya tersebut telah ditempatkan di lokasi selamat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Karya-karya seni ini merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia diterajui SPRM melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa,” katanya.
SPRM berkata, nilai keseluruhan karya seni itu dianggarkan sebanyak USD198,125.00 atau kira-kira RM786,556.25.
Menurutnya, antara hasil karya artis terkenal dunia yang berjaya dipulihkan ialah Joan Miró – Composition (1953), Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934), Balthus – Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961).
Difahamkan, kesemua karya seni itu kini melalui proses penstabilan persekitaran (acclimatization) bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum dibuka, disahkan dan dinilai oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).
SPRM berkata, pemulangan karya seni itu bukan sahaja melambangkan kejayaan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Malaysia telah berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.
“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras (benchmark) di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar,” katanya.
Tambah SPRM, setiap pemulihan aset termasuk karya seni itu membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks.
Suruhanjaya itu akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif dan strategik demi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan kepada negara untuk kepentingan rakyat.








