Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dakwaan berhubung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel adalah tidak benar sama sekali.
Menerusi kenyataan media pada Jumaat, hasil siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada tahun 1999 mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu.
“Penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh Datuk Abdul Razak Idris, mantan Pengarah Siasatan BPR, yang dibuat pada tahun 2009,” katanya.
Untuk rekod, SPRM turut mendedahkan pihak WikiLeaks telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa semasa sidang Parlimen.
“Berkenaan sebagaimana berita disiarkan di akhbar Harian Metro bertajuk “Dah 5 tahun baru Wikileak nafi” bertarikh 5 Oktober 2018,” ujarnya.
Sehubungan itu, SPRM mengingatkan semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” tegasnya.
Justeru, SPRM menyatakan pendirian untuk kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara.
Baca juga:








