SPRM: Dakwaan LFL wujudnya intimidasi adalah tidak berasas

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) bahawa suruhanjaya itu mengeluarkan notis secara mengelirukan terhadap peguam Mahajoth Singh dalam siasatan membabitkan Albert Tei Jiann Cheing.

SPRM menjelaskan bahawa notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada suruhanjaya itu menghendaki mana-mana individu hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman bagi membantu siasatan.

Menurut SPRM, undang-undang ini tidak memberikan pengecualian kepada pengamal undang-undang.

“Tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana peguam. Dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang.

“Jika peguam memiliki bahan bukti yang berkaitan dengan siasatan, mereka wajib mengemukakannya apabila dikehendaki. Keingkaran boleh dianggap menghalang siasatan, satu kesalahan di sisi undang-undang.”kata SPRM dalam satu kenyataan pada Ahad.

SPRM turut menjelaskan bahawa keistimewaan komunikasi peguam-anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun ia tidak melindungi dokumen yang tidak berkaitan nasihat undang-undang dan tidak menghalang siasatan.

“Dakwaan wujudnya intimidasi adalah tidak berasas. Notis ini adalah proses statutori biasa dan tidak menjejaskan kemampuan peguam mewakili anak guamnya,” kata suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, SPRM menekankan bahawa sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan adalah selaras dengan Seksyen 28A(8) Kanun Tatacara Jenayah dan keperluan operasi bagi melindungi integriti siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat