PETALING JAYA: Sektor pembangunan, pelaburan dan pembinaan dikenal pasti sebagai antara bidang paling berisiko tinggi terhadap rasuah, terutama melibatkan projek besar dan keputusan perolehan bernilai tinggi.
Rekod sebelum ini menunjukkan bagaimana kegagalan memelihara integriti membawa kepada projek terbengkalai, kos meningkat serta keputusan berat sebelah, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur global yang kini menitikberatkan aspek governans.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, menegaskan integriti mesti menjadi budaya teras organisasi dan bukan hanya diamalkan ketika acara rasmi.
Menurutnya, pelabur hari ini menilai ketelusan, proses governans dan ketegasan sesebuah organisasi terhadap rasuah sebelum membuat keputusan pelaburan.
“Walau sehebat mana pelan pembangunan, tanpa integriti, sukar untuk perniagaan kekal relevan, dihormati dan dipercayai. Iskandar Investment Berhad (IIB) sebagai GLC penting di Iskandar Puteri harus menunjukkan teladan tinggi dalam ketelusan,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) IIB di EduCity Sports Complex pada Khamis.
Beliau berkata, IIB turut komited memperkukuh budaya integriti apabila 97 peratus warganya telah melengkapkan latihan antirasuah, selain memperkukuh Jabatan Governans, Risiko dan Pematuhan (GRC) serta meneruskan kerjasama bersama SPRM setiap tahun.
Azmi turut menyentuh kepentingan amalan ESG yang kini menjadi indikator utama pelabur global dalam menilai destinasi dan rakan pelaburan.
Majlis berkenaan turut disertai lebih 600 mahasiswa institusi pendidikan sekitar Johor sebagai usaha membentuk pemimpin masa depan berintegriti.
Baca juga:








