PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, SPRM memaklumkan pihaknya kini menjejaki Chai Jin Shern, yang juga dikenali sebagai James Chai.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki warganegara Malaysia bagi membantu siasatan kes,” katanya.
Agensi itu turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan individu berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Hafidz Abd Halim di talian 017-5046503.
Menurut kenyataan itu lagi, alamat terakhir Chai yang diketahui ialah di 10, Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.
Difahamkan, Chai pernah berkhidmat sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Ahli Parlimen Pandan itu ketika beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi.
Beliau meninggalkan kementerian berkenaan selepas Rafizi meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Chai merupakan graduan undang-undang dari Universiti Oxford, selain pernah menjadi felo pelawat di ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.
Beliau juga dikenali sebagai kolumnis untuk CNA.
Minggu lalu, sumber SPRM memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi antara beberapa saksi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah firma asing.








