PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman komited memperkukuhkan kerjasama strategik bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan pasukan penguat kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setiap kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan sesuatu kes, sama ada kecil atau besar, memberi impak besar kepada persepsi masyarakat.
“Masyarakat tidak menilai skala kes tetapi mereka melihat kepada hasil usaha polis menyelesaikan sesuatu masalah.
“Sebagai contoh, New York City Police Department (NYPD) menyiasat kes kecil tetapi tetap dianggap pencapaian besar kerana masyarakat melihat keberkesanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad, di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Menurut Azam, SPRM sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan JIPS dalam memperkukuh integriti, pematuhan standard serta meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap kedua-dua agensi.
Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM, KPKPj Norkhafizin Isa; Timbalan Pengarah JIPS, Datuk Suryani Sungit serta beberapa pegawai kanan JIPS.