PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan enam individu sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2025 hingga 14 Julai 2028.
Pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, atas nasihat Perdana Menteri, mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
“Antara tokoh yang dilantik ialah Datuk Seri Dr Yusof Ismail, mantan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri.
“Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), serta Presiden Pertubuhan Integriti dan Governans Malaysia (MIG),” menurut SPRM dalam satu kenyataan.
Turut dilantik ialah Datuk Zainal Azman Abu Seman, mantan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Datuk Othman Semail, mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan); Datuk Dr Narimah Awin, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Datuk Dr Mohd Kassim Noor Mohamed, Naib Canselor Universiti Kepimpinan dan Pengurusan Penguatkuasaan (ELMU).
SPRM menjelaskan bahawa fungsi dan peranan utama LPPR adalah untuk menasihati suruhanjaya itu berhubung strategi, dasar dan segala perkara berkaitan isu rasuah di negara ini.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik sebagai anggota ex-officio sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13(2)(b) Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu.
SPRM turut menyatakan harapan agar pelantikan ahli LPPR yang baharu ini dapat membantu memenuhi aspirasi masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam melaksanakan fungsi-fungsinya.