SPRM Lapor Peningkatan Ketara Pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan perkembangan positif dalam pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, apabila sebanyak 24 substrategi berjaya disempurnakan setakat 18 November 2025.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen tinggi agensi peneraju dalam memastikan matlamat NACS tercapai.

“Lima substrategi disiapkan pada 2024 manakala baki 19 diselesaikan sehingga November 2025.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi Ketua Agensi Peneraju dalam memastikan matlamat NACS tercapai.

“Saya menyeru agar Ketua Agensi Peneraju yang telah berjaya menyempurnakan substrategi masing-masing agar mempergiatkan usaha promosi dan publisiti terhadap pencapaian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Setakat ini katanya, 13 Ketua Agensi Peneraju termasuk SPRM telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing sepenuhnya.

Menurut beliau, pelaksanaan NACS turut diiktiraf sebagai faktor penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dengan sokongan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI di bawah Ketua Setiausaha Negara.

“Usaha ini amat penting kerana ia bukan sahaja mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan dalam memperkukuh tatakelola dan pembanterasan rasuah, tetapi juga membantu membentuk persepsi positif masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa,” tambahnya.

Bagaimanapun, Azam memaklumkan masih terdapat sembilan substrategi jangka pendek yang belum diselesaikan dan perlu disempurnakan sebelum 31 Disember 2025.

Tambah beliau, empat agensi telah memohon lanjutan masa dan perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat JKKTN pada 8 Disember ini.

SPRM turut menegaskan kesediaan membantu agensi peneraju yang berdepan cabaran dalam pelaksanaan substrategi.

Anda Mungkin Berminat