SPRM mahu individu fitnah di TikTok mohon maaf terbuka

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan fitnah berkait satu saman palsu yang kononnya daripada pegawai SPRM.

Menerusi kenyataan media pada Jumaat, SPRM berkata pihaknya memandang serius satu hantaran di platform TikTok melalui akaun Justicenafisa (@misuscu.yong) yang mengandungi tohmahan serta dakwaan berunsur fitnah terhadap SPRM.

“Hantaran tersebut antara lain menuduh bahawa satu “saman palsu” telah diserahkan oleh pegawai SPRM serta melabelkannya sebagai satu “scam”.

“Dakwaan ini adalah sama sekali tidak benar,
mengelirukan dan menjejaskan kredibiliti SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan tuntutan permohonan maaf terbuka terhadap individu yang menyebarkan fitnah itu dan mahu tuduhan tersebut diturunkan serta-merta.

“Sekiranya individu berkenaan gagal mematuhi tuntutan ini, tindakan undang-undang akan diambil bagi melindungi imej dan reputasi Suruhanjaya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah memperoleh izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu tersebut.

Difahamkan, pertuduhan itu dijadualkan pada 5 Februari 2026 berhubung dakwaan kes rasuah berkaitan “counter setting” imigresen.

“SPRM menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara profesional dan berlandaskan undang-undang, serta mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat