PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa siasatan terhadap aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih diteruskan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini giat mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa luar negara khususnya United Kingdom (UK) bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan terhadap Tun Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan SPRM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa di UK berhubung aset-aset yang dimilikinya.
“Sekiranya maklumat berkenaan diperoleh, kita akan maklumkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Siasatan ini mendapat perhatian susulan pendedahan media baru-baru ini bahawa dua anak Tun Dr Mahathir—Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir telah mengisytiharkan aset bernilai lebih RM1.2 bilion kepada SPRM.
Mokhzani dilaporkan memiliki aset berjumlah kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan pula sebanyak RM246.2 juta.
Pengisytiharan tersebut merangkumi pegangan saham, aset lain serta kepentingan perniagaan yang berkaitan.