PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang wanita yang muncul dalam sebuah klip video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, yang tular bagi membantu siasatan kes melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SPRM berkata, kehadiran wanita berkenaan amat penting untuk melengkapkan siasatan.
“Seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video melibatkan perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, yang tersebar untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi memberi keterangan,” kata SPRM.
Menurut kenyataan itu lagi, wanita tersebut diminta hadir ke Pejabat SPRM pada 1 Disember 2025, selaras dengan keperluan siasatan yang sedang berjalan.
SPRM turut mengesahkan bahawa Albert Tei telah dihubungi dan diminta hadir pada tarikh yang sama bagi memberikan keterangan lanjut.
Dalam masa sama, SPRM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, terdapat sebuah video klip perbualan antara Albert Tei dan seorang wanita, yang kemudian tular di media sosial, sehingga mendorong SPRM memanggil kedua‑dua individu berkenaan untuk membantu siasatan.








