PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya merampas segala barang milik ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing tanpa prosedur yang ditetapkan.
Menerusi kenyataan media SPRM pada Isnin, kesemua barangan yang disita pada hari penahanan Albert Tei telah direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan serta disahkan sendiri oleh individu berkenaan.
Manakala, Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, senarai lengkap rampasan telah ditandatangani Albert, dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 turut diserahkan kepadanya pada 28 November lalu.
“Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.
“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barangan Albert Tei tanpa mengikut prosedur,” katanya.
SPRM tampil menegaskan bahawa pihaknya sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa.
Terdahulu, terdapat portal tempatan melaporkan peguam yang mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan suaminya secara tidak sah.
Peguam itu turut memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk mengeluarkan inventori harta yang didakwa dirampas ketika penahanan Albert tiga hari lalu.
Baca juga:








