SPRM Nafi Dakwaan Bloomberg, Tegaskan Ketua Pesuruhjaya Patuh Prosedur Isytihar Harta

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak laporan media antarabangsa Bloomberg yang didakwa mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Dalam kenyataan rasmi, SPRM menegaskan laporan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai berkenaan, malah secara tidak berasas mengaitkan Suruhanjaya dengan dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam dan dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan,” kata kenyataan itu.

SPRM turut menekankan bahawa Ketua Pesuruhjaya telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta termasuk melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melibatkan sumber pendapatan, pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham.

Kenyataan itu menolak gambaran seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak benar dari segi fakta dan memberi tanggapan yang mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tatakelola yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam’.

SPRM menegaskan komitmennya untuk terus menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas statutori serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam melalui pelaporan yang tidak tepat.

Anda Mungkin Berminat