Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil maklum laporan satu media antarabangsa yang mengandungi tohmahan serta dakwaan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik serta reputasi suruhanjaya itu.
Menerusi kenyataan media pada Khamis, SPRM menegaskan pihaknya tidak akan mengulas dakwaan berunsur tohmahan dan spekulatif, lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi
adalah ditolak sama sekali.
“Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.
SPRM memaklumkan bahawa sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas kerangka perundangan negara.
Ujarnya, sebagai agensi penguatkuasaan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, fungsi dan peranannya tertakluk kepada pemantauan lima badan pemantau bebas bagi memastikan integriti dan akauntabiliti.
Sehubungan itu, SPRM menegaskan bahawa sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya perlu dinilai menerusi sistem perundangan serta proses keadilan yang telah ditetapkan.
Pada masa sama, suruhanjaya itu menggesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkan maklumat melalui saluran sewajarnya bagi membolehkan penilaian serta tindakan diambil selaras dengan undang-undang.
Baca juga:








