SPRM Nafi Keluar Peringatan Larangan Rasuah Menerusi WhatsApp

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pernah mengeluarkan mesej peringatan larangan rasuah yang tular di aplikasi WhatsApp sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, sebarang hebahan rasmi hanya disalurkan melalui platform rasmi Suruhanjaya serta media arus perdana yang sah di negara ini.

“Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan mesej tular sedemikian dan mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi SPRM,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, SPRM berkata, calon dan pengundi tidak seharusnya terlibat dalam sebarang bentuk rasuah sepanjang tempoh pilihan raya.

Sekiranya berlaku salah laku, orang awam digesa menyalurkan maklumat terus kepada SPRM melalui Bilik Gerakan SPRM yang telah dibuka sejak 10 November di lima lokasi seluruh Sabah.

Bilik gerakan tersebut beroperasi di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau bagi memudahkan urusan aduan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Selain itu katanya, laporan boleh dibuat melalui portal rasmi SPRM, Portal Aduan Rasuah, talian bebas tol 1800-88-6000 atau aplikasi MACC Mobile.

Difahamkan, mesej palsu berkaitan peringatan rasuah sering kali tular menjelang musim pilihan raya.

Justeru, penjelasan SPRM ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan serta penyalahgunaan maklumat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Anda Mungkin Berminat