PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan wang yang diperoleh secara tidak sah akan dikembalikan kepada kerajaan, manakala pengurusan serta perbelanjaan dana berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebaik sahaja siasatan selesai dan harta atau wang terbabit dilucut hak, ia akan diserahkan kepada kerajaan melalui MOF, tanpa campur tangan SPRM dalam menentukan penggunaannya.
“Tanggungjawab SPRM adalah mendapatkan semula wang yang dicuri daripada rakyat dan mengembalikannya kepada rakyat melalui kerajaan. Keputusan mengenai perbelanjaan dana tersebut adalah urusan kerajaan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.

Menurut beliau, kerajaan melalui MOF mempunyai mekanisme dan keupayaan tersendiri untuk menguruskan dana awam mengikut keperluan serta kepentingan negara.
Sementara itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pemulihan RM8.5 bilion hasil yang diperoleh SPRM hanya bermakna sekiranya dana tersebut diurus secara telus, memberi manfaat nyata kepada rakyat dan disusuli tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, dana yang disifatkan sebagai ‘wang awam yang pernah dicuri’ itu tidak seharusnya hanya diserap ke dalam perbelanjaan rutin kerajaan.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, SPRM mencatat kejayaan besar apabila berjaya merampas dan memulihkan hasil rasuah melebihi RM8.5 bilion menerusi pelbagai tindakan penguatkuasaan, termasuk sitaan aset dan wang, pembekuan akaun, pelucuthakan, kompaun serta penyelesaian.
Baca juga:








